ARTIKEL INTEGRITI TAHUN 2013

PENGAMALAN INTEGRITI DALAM MENCARI KEREDHAAN-NYA

Artikel ditulis oleh Ros Yati Saberon (Penolong Bendahari Bhgn Kewangan Korporat)
Pemenang Anugerah Emas, Pertandingan Menulis Artikel Integriti Pejabat Bendahari tahun 2013

 

INTEGRITI berasal daripada perkataan Latin iaitu integritas yang bermaksud intact and whole manakala di dalam Bahasa Inggeris ia bermaksud ’the quality of being honest and morally upright’. Diterjemah ke dalam Bahasa Melayu,  makna integriti yang digariskan di dalam Kamus Dewan Edisi Empat adalah kejujuran serta keadaan yang sempurna dan utuh atau keutuhan dan ketelusan.

Konsep integriti telah diperketat sejak zaman Tun Abdullah Badawi menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri kelima yang membawa kepada pengumuman Pelan Integriti Nasional (PIN). Antara objektif PIN adalah untuk memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu ’membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur’.

 

Usaha untuk menghayati dan memantapkan nilai-nilai murni di dalam konsep integriti di kalangan masyarakat amat penting untuk Malaysia mencapai kejayaan cemerlang sebagai sebuah negara membangun dan maju menurut acuan sendiri berdasarkan syarak. Bukan sahaja integriti penting untuk kejayaan di dunia, ia bahkan adalah faktor kritikal untuk memperolehi keredhaan Allah demi sebuah kehidupan abadi di akhirat kelak.

Nilai-nilai murni yang dirangkumi dalam konsep integriti bukanlah sesuatu yang baharu kalangan masyarakat apatah lagi umat Islam. Sifat-sifat positif seperti jujur, benar, amanah dan bertanggungjawab atau di dalam istilah Bahasa Arabnya siddiq berulang kali disebut di dalam al-Quran.

Integriti bukan sekadar saranan dan kaedah pemantapan  melalui PIN. Ia merupakan perintah Allah dan sebahagian daripada agama. Berintegriti penting bagi mengelakkan individu itu daripada bersifat munafik iaitu khianat, dusta serta tidak menyempurnakan janji. Bebas dari sifat munafik adalah antara batasan yang menyempurnakan akhlak dan etika individu. Bukankah di antara tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia? Oleh yang demikian sebagai seorang Muslim, individu perlu berintegriti di sepanjang kehidupan dan di dalam setiap apa yang diperkata serta dilakukan.

Sebagaimana umat Islam disuruh melakukan kebaikan serta meninggalkan larangan dan kekufuran, menghayati dan mengamalkan kehidupan berintegriti dalam konteks luas seperti hubungan sesama manusia di dalam urusan perniagaan, perkongsian dan pemberian amanah memberikan impak yang mendalam dalam keseluruhan objektif, baik untuk organisasi, negara malah untuk individu juga.

Di dalam Islam, integriti bermula dengan ucapan dua kalimah syahadah yang penuh jujur dan ikhlas kepada diri sendiri atas kepercayaan yang padu kepada Allah yang Esa. Pegangan ke atas syahadah, kepercayaan kepada Rukun Islam dan Rukun Iman akan menjadi batas dan garisan kepada integriti individu.