ARTIKEL INTEGRITI TAHUN 2013

PENGAMALAN INTEGRITI DALAM MENCARI KEREDHAAN-NYA

Artikel ditulis oleh Ros Yati Saberon (Penolong Bendahari Bhgn Kewangan Korporat)
Pemenang Anugerah Emas, Pertandingan Menulis Artikel Integriti Pejabat Bendahari tahun 2013

 

INTEGRITI berasal daripada perkataan Latin iaitu integritas yang bermaksud intact and whole manakala di dalam Bahasa Inggeris ia bermaksud ’the quality of being honest and morally upright’. Diterjemah ke dalam Bahasa Melayu,  makna integriti yang digariskan di dalam Kamus Dewan Edisi Empat adalah kejujuran serta keadaan yang sempurna dan utuh atau keutuhan dan ketelusan.

Konsep integriti telah diperketat sejak zaman Tun Abdullah Badawi menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri kelima yang membawa kepada pengumuman Pelan Integriti Nasional (PIN). Antara objektif PIN adalah untuk memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu ’membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur’.

 

Usaha untuk menghayati dan memantapkan nilai-nilai murni di dalam konsep integriti di kalangan masyarakat amat penting untuk Malaysia mencapai kejayaan cemerlang sebagai sebuah negara membangun dan maju menurut acuan sendiri berdasarkan syarak. Bukan sahaja integriti penting untuk kejayaan di dunia, ia bahkan adalah faktor kritikal untuk memperolehi keredhaan Allah demi sebuah kehidupan abadi di akhirat kelak.

Nilai-nilai murni yang dirangkumi dalam konsep integriti bukanlah sesuatu yang baharu kalangan masyarakat apatah lagi umat Islam. Sifat-sifat positif seperti jujur, benar, amanah dan bertanggungjawab atau di dalam istilah Bahasa Arabnya siddiq berulang kali disebut di dalam al-Quran.

Integriti bukan sekadar saranan dan kaedah pemantapan  melalui PIN. Ia merupakan perintah Allah dan sebahagian daripada agama. Berintegriti penting bagi mengelakkan individu itu daripada bersifat munafik iaitu khianat, dusta serta tidak menyempurnakan janji. Bebas dari sifat munafik adalah antara batasan yang menyempurnakan akhlak dan etika individu. Bukankah di antara tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia? Oleh yang demikian sebagai seorang Muslim, individu perlu berintegriti di sepanjang kehidupan dan di dalam setiap apa yang diperkata serta dilakukan.

Sebagaimana umat Islam disuruh melakukan kebaikan serta meninggalkan larangan dan kekufuran, menghayati dan mengamalkan kehidupan berintegriti dalam konteks luas seperti hubungan sesama manusia di dalam urusan perniagaan, perkongsian dan pemberian amanah memberikan impak yang mendalam dalam keseluruhan objektif, baik untuk organisasi, negara malah untuk individu juga.

Di dalam Islam, integriti bermula dengan ucapan dua kalimah syahadah yang penuh jujur dan ikhlas kepada diri sendiri atas kepercayaan yang padu kepada Allah yang Esa. Pegangan ke atas syahadah, kepercayaan kepada Rukun Islam dan Rukun Iman akan menjadi batas dan garisan kepada integriti individu.


 

Namun bagaimana pula penghayatan integriti di dalam konteks kecemerlangan demi mencari keredhaan Allah? Manusia dicipta untuk menjadi Khalifah di muka bumi Allah. Allah telah memerintahkan manusia untuk berusaha di dalam kehidupan termasuklah bekerja mencari rezeki. Usaha ini hendaklah dilakukan dengan berintegriti agar beroleh rezeki yang halal. Rezeki yang halal akan menjadi darah daging dan membentuk hati dan peribadi serta sahsiah individu.

 

Di dalam setiap pekerjaan, tugas atau tanggungjawab yang dilakukan di dalam kehidupan, integriti merangkumi beberapa perkara berikut :

1)     NIAT

Niat merupakan pendorong atau motif utama perlakuan dan pertuturan individu. Oleh yang demikian, individu yang melakukan tugas dan menuturkan perkataannya dengan niat ikhlas demi memperoleh keredhaan Allah akan memberi satu batasan untuk individu itu melakukan perkara yang tidak berintegriti.

 

2)   PEMANTAPAN ILMU PENGETAHUAN

Ilmu merupakan elemen terpenting di dalam kehidupan. Ia juga merupakan teras utama di dalam konsep integriti. Oleh yang demikian, individu berkewajiban untuk mencari ilmu pengetahuan agar kefahaman tentang falsafah, nilai, kepentingan dan tujuan hidup berintegriti lebih jelas.

 

Dengan kefahaman ini, penghayatan integriti akan lebih sebati dan seterusnya mendorong individu untuk memberi komitmen terhadap nilai yang dipegang dalam setiap tutur kata dan perbuatan. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, individu yang berilmu pengetahuan sewajarnya boleh membezakan antara benar dan salah seterusnya membuka minda dan hati untuk menghayati kepentingan berpegang kepada gaya hidup berintegriti demi redha Allah.

 

3)    PEMANTAPAN NILAI

3.1  Melakukan tugas/tanggungjawab dengan penuh kesungguhan

Individu yang berintegriti hendaklah berazam untuk melakukan tugas dan melunaskan tanggungjawab dengan dedikasi dan bersungguh-sungguh demi menghasilkan hasil kerja yang berkualiti serta bermanfaat.

 

3.2  Mahmudah versus Mazmumah

Sifat mahmudah atau sifat baik adalah segala nilai murni yang ada dalam konsep integriti. Sebaliknya, sifat mahmudah adalah antagonis kepada sifat mahmudah.

Melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sifat mahmudah adalah dengan mengamalkan nilai rajin, tekun, berdisiplin, amanah, melakukan tugas dengan penuh iltizam dan kesungguhan pada standard yang dikehendaki tanpa sebarang niat untuk kepentingan sendiri mahupun untuk pujian, perhatian atau ganjaran dari orang lain.

Sebagaimana hadis Saidina Umar r.a. yang menyatakan tentang Rukun Ihsan:

فَأَخْبِرْنِي عن الإِحْسَانِ، قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ الله كأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ یَرَاكَ.

Maksudnya : “Dia berkata lagi : Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda : Ihsan itu ialah bila engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Jika individu itu yakin Allah maha melihat setiap sesuatu yang kita lakukan dan maha mendengar setiap sesuatu yang dipetuturkan hatta detik hati, maka individu itu akan memiliki integriti yang tinggi dengan Allah. Maka yang demikian tidak akan mudah baginya untuk terpengaruh dengan godaan nafsu yang akan membawa kepada perkara negatif dan amalan sikap mazmumah seperti rasuah, pecah amanah, penyelewengan, manipulasi, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain.

3.3  Strategi dalam melaksanakan tugas

Dalam memakmurkan kualiti tugas dan tanggungjawab, individu berintegriti akan bekerja secara profesional, kemas melalui perancangan yang berstrategi. Ia diperlukan dalam menjaga kepentingan organisasi dan negara secara keseluruhan bila pembaziran harta, wang, sumber dan masa dapat dielakkan untuk memberikan hasil kerja yang lebih berkualiti dan cemerlang.

 

3.4  Menganalisa maklumat

Berpegang kepada nilai-nilai integriti seseorang itu tidak akan bertindak mengikut emosi. Setiap maklumat yang sampai ke pengetahuan mereka akan ditapis dan dikaji terlebih dahulu bagi mendapatkan fakta yang sahih. Ini penting untuk mengelakkan kesilapan dalam penilaian, proses membuat keputusan dan tindakan lanjutan yang diambil yang akhirnya akan menganiaya, memudharatkan dan merugikan banyak pihak.

 

3.5  Jujur dan berani demi kebenaran yang hak

Kecemerlangan bagi seseorang yang berintegriti bukan hanya untuk dirinya semata-mata tetapi meliputi setiap sesuatu dan seseorang yang berada di sekelilingnya, hatta keseluruhan umat manusia.

Individu yang berintegriti akan jujur melakukan sesuatu yang benar dan akan berani menegur dan memperbaiki setiap sesuatu yang salah dengan cara paling berdiplomasi dan berstrategi.

 

3.6  Berani mengakui kesilapan

Individu berintegriti adalah manusia bermaruah yang bersikap profesional. Justeru tiada istilah menyembunyikan kesalahan dan menegakkan benang yang basah hanya untuk menutup kesalahan diri. Sekiranya didapati bersalah, atas dasar melakukan tugas dengan amanah pada landasan integriti, mengakuinya dan mencari alternatif penyelesaian yang dapat membantu kepada proses pembetulan akan lebih dihormati dan dipandang tinggi.

 

3.7  Istiqamah, sabar, tawakal dan doa

Di dalam menjalankan tugas, individu hendaklah berpegang dan mengamalkan nilai integriti bagi memperolehi kualiti kerja yang cemerlang. Nilai dan penghayatan ini hendaklah sentiasa diamalkan secara istiqamah.

Terdapat pelbagai kesukaran, halangan dan cabaran dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang dilakukan secara berintegriti. Akan ada pihak yang cuba menghasut, mempengaruhi malah menjatuhkan hanya untuk kepentingan peribadi. Oleh yang demikian individu yang mengamalkan integriti haruslah sabar dan bertawakal agar mampu untuk terus istiqamah.

Perubahan menuju hasanah ataupun kebaikan juga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bermula dari dalam diri setiap individu samada mahu mengamalkan nilai baik dan integriti ataupun sebaliknya. Justeru doa dan usaha yang sempurna adalah gabungan terbaik untuk mendapatkan kecemerlangan jihad iaitu kejayaan daripada hasil kerja tekun dan berintegriti.

 

4)  PEMANTAPAN BUDAYA

Cendekiawan menyatakan bahawa persekitaran memberikan impak yang besar kepada perkembangan individu dan fitrah sosialisasi yang membentuk akhlak jangka panjang.

Pergaulan dan perhubungan jangka panjang di antara ibubapa-anak, guru-murid dan pemimpin-pengikut akan menjadi gaya hidup individu. Oleh yang demikian, penghayatan ke atas nilai integriti itu sepatutnya telah diasuh dan dididik seawal usia dan seawal pergaulan agar ia dapat menjadi nilai yang difahami dan kebiasaan yang dihayati amalannya.

 

5)  MENCARI KEREDHAAN ALLAH

Sebagai makhluk ciptaan-Nya, fitrah jiwa manusia adalah mengikut syariat Allah. Oleh sebab itu, hidup tanpa integriti yang menjerumuskan manusia ke lembah cara hidup dan gaya fikir yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah akan menyebabkan konflik kejiwaan. Ia akan menyebabkan manusia hidup gelisah, tidak tenang, sering rasa diburu atau dihantui rasa bersalah dan kekesalan sehingga kesilapan diperbetulkan.

Justeru, menghayati integriti dan mengamalkan nilai hidup mahmudah adalah selaras dengan ajaran Islam. Individu atau kumpulan yang memiliki pengetahuan, meyakini, mencintai dan menghayati nilai-nilai mahmudah serta menghindari nilai-nilai mazmumah  yang terkandung di dalam Al-Quran dan sunnah serta mengamalkannya secara konsisten di dalam kehidupan untuk memperolehi keredhaan Allah ini adalah dirujuk sebagai ‘Integriti Mutmainah’.

Integriti mutmainah adalah mereka yang memurnikan diri daripada nilai-nilai buruk dan menerapkan nilai-nilai mulia lalu diamalkan sebati dengan diri sebagaimana kesempurnaan integriti Rasulullah s.a.w. yang mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.


 

Kesimpulannya, integriti adalah amalan murni zahir dan batin yang perlu dihayati oleh setiap individu Muslim dalam usaha mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Penghayatannya telah diserapkan ke dalam setiap budaya organisasi samada di sekolah mahupun di tempat bekerja. Di Universiti Teknologi MARA contohnya, konsep integriti diterapkan di dalam 7 prinsip PERDANA yang menjadi amalan warganya.

Ketahuilah bahawa integriti itu adalah antara sifat Allah kerana setiap satu firman yang diwahyukan adalah benar. Lihatlah di dalam diri dan di sekeliling kita, samada di langit, di bumi, di dalam lautan hatta sehingga ke angkasa raya yang telah manusia jejaki, apakah tidak setiap sesuatu itu telah Allah nyatakan di dalam kitab suci Al-Quran? Apakah manusia masih mahu mendustakan? Integriti juga bahkan merupakan sifat wajib yang ada pada para Nabi dan Rasul dalam dakwah menyampaikan kebenaran agama Allah di muka bumi.

Justeru sebagai seorang insan, apakah kita masih buta mata dan buta hati untuk menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni konsep integriti dalam menjalani kehidupan di dunia agar sentiasa lurus di landasan benar yang diredhai seterusnya hidup cemerlang sehingga ke hari Akhirat?

Telah Allah janjikan kebaikan dan manfaat kepada orang-orang yang berintegriti sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al Maidah (5:119):

 

قَالَ ٱللَّهُ هَـٰذَا يَوۡمُ يَنفَعُ ٱلصَّـٰدِقِينَ صِدۡقُهُمۡ‌ۚ لَهُمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۚ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١١٩)

Maksudnya : Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang berintegriti (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.

Tanpa integriti manusia akan hidup bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah dan jauh dari redha Allah. Nauzubillah.

 


 

RUJUKAN

 

Metodologi Pembentukan Integriti Mutmainan, Jurnal Akademik. Dilihat pada 26 Februari 2013, http://jurnalakademik.blogspot.com/2007/06/metodologi-pembentukan-integriti.html

Pelan Integriti Nasional. Dilihat pada 25 Februari 2013, http://www.lpp.gov.my/c/document_library/

Pelan Integriti Nasional, Perutusan Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Ulangkaji PTK. Dilihat pada 25 Februari 2013, http://ulangkajiptk.blogspot.com/2010/03/pelan-integriti-nasional.html

Pemantapan Nilai Integriti Individu Sebagai Teras Pembangunan Staf Berkualiti, Jurnal Akademik. Dilihat pada 25 Februari 2013, http://jurnalakademik.blogspot.com/2006/09/pemantapan-nilai-integriti-individu.html

Portal Rasmi Institut Integriti Malaysia. Dilihat pada 25 Februari 2013, http://www.iim.org.my/